Tuesday 12 May 2015

Jenis - Jenis Nilai Murni dalam Kerjaya Guru

Berikut merupakan jenis-jenis nilai murni yang terdapat dalam kerjaya guru.
1. Amanah
2. Benar
3. Bijaksana
4. Bersyukur
5. Dedikasi
6. Ikhlas
7. Penyayang



1. Amanah
Seorang warga pendidik hendaklah mempunyai sifat bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya. Jesteru itu, ia mestilah menjalankan tugas yang diberi dengan penuh tanggungjawab tanpa penyelewengan dan cuai. Seorang pendidik mempunyai sikap jujur dan setia kepada organisasi tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan. Ia menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dan menyiapkan tugas dalam tempoh yang ditetapkan serta tidak menggunakan masa kerja untuk urusan peribadi. Seorang guru juga hendaklah berdisiplin serta mengawal diri dan tidak melakukan sesuatu kerja yang membolehkan ia hilang kepercayaan orang lain terhadap dirinya. Bertanggungjawab melaporkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa merupakan satu sifat amanah yang amat dituntut.


2. Benar
Seseorang guru mestilah mempunyai niat dan perbuatan yang ikhlas serta benar. Ia mempunyai niat yang baik dan jujur dalam melakukan sesuatu pekerjaan, tanpa niat yang tersembunyi atau pun mengharapkan balasan. Guru mestilah bercakap benar dan menepati janji. Ia seharusnya bersedia untuk mempelajari atau menerima nasihat orang lain dengan tidak bersikap sombong atau angkuh. Seorang guru juga mesti memberi dan menerima arahan yang jelas dan tepat serta tidak mengelirukan. Ia boleh berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakaran untuk kejayaan bersama.


3. Bijaksana
Guru hendaklah menggunakan pemikiran dengan bijaksana dalam membuat keputusan dan tindakan sesuai dengan masa serta keadaan. Ia haruslah menggunakan seluruh potensi, keupayaan dan kepakaran untuk menjayakan sesuatu tugas dengan cemerlang dan tidak mengambil jalan mudah. Guru mestilah berusaha menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dan berkualiti serta sentiasa mempertingkatkan ilmu, kepakaran dan profesionalismenya. Ia juga mestilah mempunyai fikiran yang rasional serta pertimbangan yang saksama dalam menyelesaikan sesuatu masalah tanpa mengikut perasaan dan emosi.


4. Bersyukur
Guru hendaklah mempunyai perasaan dan perlakuan yang menghargai nikmat dan pemberian yang diterimanya. Jesteru itu, ia hendaklah menghargai anugerah dan nikmat yang diterima tanpa menganggap kejayaan sebagai hak dirinya. Ia mestilah bersedia memberi pengiktirafan kepada mereka yang berjaya tanpa sebarang prasangka, dendam atau menabur fitnah. Seorang guru mempunyai sifat yang tenang dalam menghadapi masalah serta redha menerima ketetapan, kegagalan dalam ujian serta tidak boleh berputus asa. Ia seharusnya berpuas hati dengan nikmat yang diperolehinya seperti ganjaran yang diterima dan kemudahan yang disediakan.


5. Dedikasi
Seorang guru hendaklah berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga secara berterusan dalam menghasilkan kerja yang berkualiti. Maka, ia seharusnya bekerja tanpa jemu dan bosan serta bersedia untuk menerima tugas dengan tidak mencari helah. Seseorang guru sanggup berkorban demi kepentingan perkhidmatan, tekun, rajin dan bersikap positif dalam melaksanakan tugas dengan mendapat hasil yang berkualiti. Ia mestilah seorang yang sabar bertanggungjawab, teliti, ceria, tidak cuai atau merungut dalam menjalankan tugas. Guru hendaklah cergas dan pantas bekerja dan hasilnya menepati kehendak organisasi.


6. Ikhlas
Seseorang guru mestilah berhati suci dalam menunaikan tanggungjawab untuk menghasilkan kerja yang terbaik tanpa mengharapkan ganjaran. Menerima tugas dengan rela dan hati yang suci, tidak berpura-pura atau mengelak daripada tanggungjawab. Ia menjalankan tugas semata-mata untuk mencapai matlamat organisasi, bukan kerana pangkat, kedudukan atau mendapat perhatian orang lain. Seorang guru dapat memberi layanan yang baik, tanpa mengira pangkat, status atau kedudukan dan tidak bersikap pilih kasih dalam menjalankan tugas. Ia haruslah bersedia menerima teguran dan kritikan dengan hati dan fikiran yang terbuka. Seorang guru juga seharusnya saling hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa sebarang kepentingan diri.


7. Penyayang
Seorang guru mestilah berperasaan dan berpelakuan memahami, menghargai dan mengambil berat terhadap pelanggan. Ia mempunyai sifat pemaaf dan penyayang, tidak berdendam, sombong dan suka meninggi diri. Guru seharusnya menganggap setiap orang mempunyai harga diri yang perlu dihormati tanpa sebarang prasangka buruk. Ia bersifat bertimbang rasa dan suka mengambil berat dalam melaksanakan tugas. Menjadikan organisasi sebagai sebuah keluarga besar yang penuh kemesraan serta bersifat simpati dan empati dalam menjalankan tugas seharian.

Definisi Nilai Kerja

Nilai merupakan satu petunjuk ke arah kesejahteraan setiap individu. Nilai dan kerja mempunyai hubungan yang rapat dan erat. Nilai yang positif dapat mempengaruhi sikap dan pandangan individu terhadap sesuatu tindakan. Nilai kerja juga merujuk pada sikap individu terhadap kerja dan berkaitan dengan makna yang diberikan oleh individu terhadap kerja.

Tidak ada nilai kerja yang lebih baik selain daripada yang diasaskan pada kebersihan jiwa, akhlak mulia dan memperjuangkan kebaikan serta kemakmuran. Keyakinan yang murni tidak akan wujud selagi manusia tidak bersih hatinya dan meletakkan kebendaan lebih tinggi kedudukannya daripada nilai kerohanian atau agama. Keyakinan seperti itulah yang patut ada dalam jiwa setiap guru iaitu keyakinan untuk membentuk manusia yang amanah, bertanggungjawab dan ikhlas bukan sahaja untuk dirinya malah untuk masyarakat, negara dan manusia sejagat.


Nilai kerja merupakan satu gagasan psikologi yang berkait dengan persepsi, sikap dan falsafah seseorang terhadap pekerjaannya. Ia berkaitan dengan makna yang diberikan oleh individu mengenai kerjanya.